Friday, May 25, 2007

Terima Kasih Juga Tuhan

Terima kasih juga Tuhan
Kerana adanya dia
Kecil ku tatang
Besar ku peluk
Sedih ku cium
Riang ku dakap

Dalam dunia
Biar ada cinta

Dan dia cinta hati ku
Akan ku jaga selalu!

22.5.07

Terima Kasih Tuhan

Terima kasih Tuhan
Atas limpah kurniaMu kasih
Sayang berpanjangan
Walau terpisah jarak
Walau berjauh mata
Walau berselisih hati
Walau bertabur mutiara
Walau bertukar nista
Walau hujan
Walau panas
Walau ribut
Walau damai

Walau rindu
Walau jemu
Namanya terus
Berpahat di kalbu

Monday, May 07, 2007

Kahwin - tanggungjawab @ nafsu?

"Saya akan berkahwin satu hari nanti atas sebab tanggungjawab, bukan kerana nafsu"

Kenapa ya, manusia berkahwin? Adakah kerana rasa tanggungjawab, desakan nafsu-nafsi, atau yang lebih glamer, 'cinta', atau kerana mencontohi sunnah Nabi SAW, dan ingin meramaikan umat Muhammad, atau kerana apa?

Agak sukar untuk saya menjawab ini.

Berkahwin kerana rasa tangungjawab, tidakkah satu hari nanti, bila mana semua tanggungjawab telah tertunai, kita akan bertanya, apa lagi? Nak apa lagi?

Jika berkahwin kerana nafsu atau cinta, jika sudah menikmati atau sudah puas melahirkan rasa cinta atau melampias nafsu, dan jika ditakdirkan cinta bertukar bosan, bagaimana nantinya? Kerap kali saya mendengar cerita pasangan yang awalnya bercinta 'bagai nak rak', akhirnya kecundang mahligainya, kerana cinta sudah hilang, sudah pupus ditelan masa. Juga mungkin kerana munculnya ramai orang ke3.

Pada saya, jika perkahwinan itu diniatkan 'lillahi Ta'ala'. kerana Allah Ta'ala, insyaallah, mungkin jodoh berpanjangan....walau dilanggar badai dan dicucuk onak, mungkin ia mampu bertahan.

begitu mudahkah? Ya, kerana kita beriman dengan Allah.

saya ada satu cerita berkaitan tajuk di atas yang telah disampaikan kepada saya yang membuatkan saya berfikir tentang tujuan manusa berkahwin.
Setiap orang akan ada jawapan masing-masing, bukan?

2 Minggu lalu A terkesima, terdiam tanpa kata bila seseorang (teman bicaranya) menyebut kata-kata di atas tatkala mereka berbual tentang isu semasa. Dia hanya memandang temannya itu, dalam hatinya merasa gembira kerana akhirnya, temannya itu punya hasrat juga untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dapatlah dia makan nasi minyak 'berbayar'!

Minggu lalu, A ternampak gambar-gambar di sekitar sebuah mesyuarat. Kelihatan seorang yang berlainan jantina sedang asyik memerhatikan kepingan kertas seolah-olah tak menyedari kamera yang sedang dihalakan ke arah mereka. A 'perasan' bahawa teman bicaranya itu sebenarnya sedang duduk bersebelahan dengan pasangannya. Yang kelakarnya, kenalan A itu seolah-olah cuba mengelak dari wajahnya di 'capture' oleh lensa kamera digital, sama ada dengan memanjangkan tubuhnya ke hadapan kerusi, atau menyorok di belakang orang yang duduk di hadapannya. walaupun penaakulan A mungkin ada ralatnya, namun A percaya, yang cuba mengelak dari lensa kamera dan sedang duduk di sebelah pasangannya itulah teman bicaranya...

A terfikir, patutlah dia membicarakan tentang 'tanggungjawab'. Pasangannya itu, sejak dari mula lagi, memang menimbulkan rasa tanggungjawabnya - untuk menjaganya, untuk memberinya makan, untuk memandunya ke sana-ke mari... Dia memang perlu dibantu. Apa jua bantuan untuknya tidak lah di anggap sebagai beban. A tahu, banyak suka duka mereka alami dahulu. Baguslah, temannya itu sudah bertemu rasatanggungjawabnya! Baguslah begitu.

Dan fahamlah A, apa maksud kalimah 'berkahwin kerana tanggungjawab, bukan kerana nafsu' yang terucap 2 minggu lalu.


Hmm... menarik juga kan kisah A ini. Cuma, saya beranggapan, lembabnya A, kerana baru tahu selepas 2 mnggu! Apasal tak tanyakan terus kepada kawannya itu?

Tapi, saya tahu, walaupun berbuih A bertanya dan memberi dalil dan bukti, tak semestinya kenalannya akan menjawab dengan sejujurnya..... hati manusia, siapa yang mampu menebaknya?

rencam

timbul pula masalah bila saya cuba memasuki akaun blog ini.... alhamdulillah, boleh diatasi...

Anda pernah minum teh tarik yang semahal RM20.00?

Itulah kali pertama saya minum air semahal itu, maksud saya, di sinilah, di Negara tanah tumpahnya air mataku. ingatkan, dapat duduk di 5-star hotel secara percuma (bukan betul2 percuma, kerana ada kerja yang perlu diselesaikan), maka sebarang permintaan tambahan boleh dikreditkan ke ‘company’ yang menaja. Hampeh, Cuma hanya untuk penginapan dan sarapan sahaja. Nasib baik saya tak gunakan talian internetnya. Entah berapa agaknya yang saya kena bayar nanti.

Teh tarik 2 puluh ringgit? Tercekik darah saya.

Hampir maghrib sabtu lalu, baru selesai urusan yang belum selesai sebenar-benarnya. Maksudnya, saya kena selamatkan apa yang patut ke dalam pendrive-pendrive, dan keluar dari hotel 5 bintang itu berikutan ‘bos2’ saya akan keluar dari bilik urus dan setia, dan terus menuju ke destinasi mereka yang seterusnya. Seorang ke majlis walimatul urus salah seorang anak dari 40 orang anak, manakala seorang lagi pulang kerumah untuk memeluk dan mencium anak-anaknya. (berapa jumlahnya, saya kurang pasti pula)

Kerana kaki saya terasa begitu sakit sekali di tulang kering tibia saya. Saya rasa ada otot atau urat yg tercedera mungkin, atau tendon yang tercedera, entahlah. Tapi sakit juga untuk berjalan. Kesakitan itu membuatkan kaki saya yang pernah terseliuh dulu meragam juga. Argh tensionnya.

Dalam terkocoh-kocoh meninggalkan bilik urus dan setia itu, saya tersilap mengambil beg bos saya, kerana bag konferensi kami serupa sahaja rupanya, yang berbeza hanyalah beratnya, beg saya lebih berat kerana penuh dengan handouts yang saya kutip untuk menyempurnakan kerja saya. Semasa dipintu, seorang kakak bertanya, balik ke mana, dan bagaimana. Bos saya menjawab untuk saya, dah ada sedara mara dia datang ambil.


Tapi perlahan sahaja saya menjawab, tak, tak jadi. Saya akan naik komuter sahaja. Kakak yang peramah tadi pun segera mengajak saya menaiki kenderaan yang akan menghantarnya pulang ke pejabat dan ke rumah. Bos saya berkata, tadi kalau tak tanya, tak tau. Ya, saya menjawab sambil tersengih, terima kasih kerana tolong tanya.

Hmm…saya memang berat mulut untuk menyusahkan orang… apalagi orang yang baru jam itu saya kenali.

Tapi, Allah Maha Pengasih…di saat saya memerlukan bantuan, bantuan datang tanpa di duga. Alhamdulillah. Tak perlulah saya turun naik tangga untuk ke komuter…dan pindah randah komuter juga. Walaupun sebenarnya, saya begitu teringin belajar naik komuter untuk ke mana-mana. Manalah tahu, suatu hari nanti, keadaan memaksa saya menggunakan pengangkutan awam kembali….

Dipendekkan cerita, saya selamat kembali ke rumah, alhamdulillah.
Hujung minggu lalu, saya bersendiri menghitung diri.


12pm

Friday, April 13, 2007

Gratitude

Thank you Allah, for enriching me with new knowledge and rezki halal..
Thank you Allah for allowing me the chance to extend the benefits I receive from you..and also for making others happy
Thank you Allah, for allowing me life and happiness.

My dear b, thank you for allowing me the chance to show that I care. Thank you for not pulling away or show me your scorn..

My dear d, thank you for loving me unconditionally.

May Allah bless you!

Bicara perempuan I

Perempuan itu terdiam mendengarkan buah butir bicara lelaki itu.

Katanya, dia ingin membahagiakan diri dengan mengambil seorang perempuan yang diidami menjadi isteri keduanya yang sah. Telah sering dia tercari-cari selama ini sebutir mutiara hati yang akan menambahkan seri kehidupannya di hari-hari yang menampakkan kejelasan kedut-kedut di serata badannya. Bukan dia tidak berpuas hati dengan isteri yangterlalu setia bersamanya menempuh rimba dan lurah kehidupan bersuami isteri dan berkeluarga. Bukanlah dia jemu dengan suri yang menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya. Bukan juga kerana dia merasa tamak dengan kasih sayang. Niatnya suci, lagi ikhlas, ingin menyunting bunga sebelum ia melayu dan mati kekeringan.

Perempuan itu hanya tersenyum. Hatinya berkata-kata. Manis sungguh tutur engkau. Siapa yang hatinya goyah, sudah tentu terlena dengan dodoian yang begitu mempersona, membujuk dan menyentuh hati wanita yang lembut. Malang sekali buat engkau, wahai lelaki yang ingin memasang dua. Aku wanita punya prinsip. Bila hati telah ku berikan buat sidia yang kukenal diriya, tidak mungkin aku berpaling lagi kepada insan lain, tidak aku ingin memberi hati, jiwaraga dan seluruh rasa cinta untuk mana-mana lelaki yang datang menggoda.

Kata perempuan itu, maafkan aku kerana tidak mampu berbuat seperti yang engkau mahu. Aku tak dapat memberikan apa yang engkau dambakan. Prinsip ku jelas: aku tak akan melukakan hati mereka yang sejenis dengan ku. Walaupun ketika ini engkau tidak akan nampak rasionalnya perbuatanku, namun satu hari nanti kau akan mengerti betapa betulnya jawapan ku ini. Kau mungkin mencapai kebahagiaan dengan membuka cawangan baru. Namun kau tidak akan mampu memerintah dua empayar yang letaknya berjauhan, dan kau tidak akan mampu mengubat kelukaan hati perempuan yang setia bersamamu dan sanggup bersusah payah mengandungkan zuriat buat engkau. Sudahlah. Lupakan aku. Hati dan kasih sayang ku telah ku hadiahkan buat seorang yang ku kenali terlebih dahulu daripada engkau. Dialah rajaku. Dengan izin Allah. Aku ingin membahagiakan dia walau akhirnya aku tidak mendapat apa. Dialah yang aku rindu saban waktu. Kau harus faham itu.

Surat Cinta I

Aku belum pernah lagi menulis sepucuk surat cinta unggul, yang nantinya akan mensyahdukan hati yang isi dan maknanya ditujui. Ia satu impian yang seringkali tersorok jauh dalam lubuk hati, yang kadangkala membuak-buak memercikkan perasaan yang selamanya tersimpan dalam seketul hati yang banyak memainkan peranan. Ah! Kenangan… selamanya ia akan tersisip kemas dalam ketulan itu, dan bila mana masa belayar, maka yang kelam jadi terang, yang kelabu jadi merah jambu.

Aku memang terlalu ingin melakarkan perasaanku ke atas lembaran penuh rasa cinta untuk engkau yang selalu ku rindu. Namun, entah bila dapat ku tunaikan hajat yang menggunung dan berapi ini. Entah bila lahar angau dapat dimuntahkan. Entah bila dapat ku yakinkan dikau betapa cintaku luhur, hanya untuk engkau, yang hadir bagai jawapan buat doa yang ku panjatkan. Memang aku pengemis, tanpa malu, aku akui. Pertama sekali akulah pengemis kasihnya Ilahi. Saban waktu aku mengharapkan pertolonganNya, aku mendambakan kasih dan rahmatNya. Tanpa malu-malu aku menadah tangan meminta itu dan ini daripadaNya. Ilahi ya Rabbi, Dialah Yang Maha Mengerti apa mahuku. Hanya kepadaNya aku berserah dan memohon perlindungan. Aku pernah meminta kepadaNya, agar dipertemukan dengan orang yang begini-begini. Dan Yang Maha Kuasa telah menerbitkan suatu rasa asing yang tak pernah ku alami terhadap insan lain. Suatu rasa aneh, yang dalam dan masih berpanjangan, alhamdulillah sehingga kini.

Dan aku telah memohon kepadaNya Yang Maha Pengasih, agar Dia suburkan rasa kasih dan saying itu selagi nyawaku masih ada dikandung badan. Tamakkah aku kerana meminta-minta agar rasa itu subur mekar? Berdosakah aku mengharapkan agar Dia Yang Maha Penyayang memberkati kita dengan sebuah hubungan yang halal? Kerana aku ingin menjagamu. Aku ingin bersamamu merebut 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara. Aku ingin bangkit bersamamu menuju kejayaan. Aku ingin berikan kasih sayangku kepada engkau selalu ku sebut dalam doaku. Izinkan lah aku memanggil mu kekasih…

Telah ku pasti engkaulah jawapan buat doaku. Justeru, aku menjadi pengemis cintamu. Aku mengemis kasihmu yang ku tahu terlalu mahal buatku. Maafkan aku seandainya engkau rimas dengan perakuanku. Maafkan aku kerana menyintaimu sepenuh hati. Dan rasa ini tidak pernah ku alami sebelum ini. Ia mungkin pelik, namun ia tulus.

kerana aku percaya, dalam menyinta, it's all or nothing.

4.04am 25.03.07

Wednesday, March 28, 2007

Syukur alhamdulillah

Syukur alhamdulillah, pada hari ini, dapat juga menunaikan hajat yang telah terpendam sekian lama... Namun tak semua yang terpendam perlu dilepas bebas, banyak waktu aku terkelu lidah, kerana malu menjadi antara penyebab suatu peristiwa yang tak mungkin akan aku lupakan. Aku sedar kini, apa yang ada di hadapan, di sisi, juga di belakang, perlu dijaga dan dihargai seikhlas hati. jangan lagi mulut bersikap kejam ingin melukakan, walaupunbukan itu yang terniat di hati.... selalu, kebenaran yang kita fikirkan dan perjuangkan, adalah suatu yang bersifat kejam dan melukakan buat pihak yang lain. jadi, apa yang perlu kita buat?

banyak-banyak beristighfar mungkin... Sesungguhnya Allah lebih mengetahui dari segala manusia dan makhlukNya yang lain tentang apa yang telah, sedang dan akan berlaku... sesungguhnya hanya kepadaNya sahajalah kita patut berserahdiri.. bukankah Islam itu sendiri bermakna menyerah diri kepada Ilahi? maafkan aku jika tersilap, aku hanya insan yang kerdil dan dhaif..

Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu...

God, You move in mysterious ways....

So many things that had happened, though at that time could be confusing, they all happened for a reason... that's why, we have to pray for Allah's guidance, at all times....

Thank you Allah, for giving me this opportunity again, alhamdulillah.

semoga Allah memberi kita kesihatan dan kewarasan serta kebahagiaan yang berpanjangan..amin!

Sunday, March 25, 2007

Bila rindu menggigit.. II

Malam ini ku telusuri liku-liku masa lalu…
teringat bualku denganmu
Suatu waktu yang dahulu
Mesra dan tulus serta malu-malu
Tiada yang keliru antara kita
Semuanya berani dijelaskan
Jujur
Polos
Tiada buruk sangka
Tiada dendam

Rindunya aku pada saat-saat begitu
Kita bersenda melewati masa
Sedang engkau berkerja
Dan aku mengajakmu berbicara

Walau tika itu kurang jelas di mataku
Mana dia
Kemesraan yang kau cuba pamerkan
Namun, bila ku sorot semula bual kita dulu
Rupanya ia cermin hati dan perasaan dua insan
Yg berkabus buat ku waktu dulu
Kini, telah aku lepaskan belon emosi gergasi ke udara
Kelihatan ia menjelma
Jelas kini
Engkau menyayangi jua aku
Walau tak terucap di mulutmu
Waktu itu.

Setelah angka 3 bertambah ke usia kita
Ku rasa kau makin jauh dariku
Bagai ada dinding tebal menyergah dan menghadang
Setiap kali bilah-bilah kata menghiris hati kenyal
Mericih sayang
Memarut rindu
Mengukir dendam
Semoga ia cuma tembok Berlin yang akhirnya rapuh
Tatkala tali pengikat kasih
merantai hati-hati
Yang dulunya menderita.

Bila naluri dan akal manusia
Mendalami makna hidup
Lantas terlerailah duka
Bertautlah cinta

Labels:

Bila rindu menggigit.. I

Sebenarnya, banyak benar yang saya ingin perkatakan. Banyak yang saya ingin luahkan.

Dia yang ku kenal lebih tiga tahun dahulu, ketika aku tercari-cari siapa diriku, memang sehingga kini tidak dapat aku lupakan. Hadirnya dia ketika aku benar-benar memerlukan kawan. Aku telah berdoa agar dipertemukan dengan insan yang mempunyai ciri-ciri tertentu, alhamdulillah, telah Allah kabulkan. Apakah ciri-ciri yang kucari itu? Apakah sifat-sifat yang menjadi idaman ku?

Kau akan dapati dia sememangnya menepati watak yang ku cari-cari selama ini.


24.3.07
jam 10mlm

Labels:

Monday, March 12, 2007

Jangan bersedih..

jangan bersedih..
kerana aku tak bisa memilih
antara mana yang paling berharga
buat peneman di hari tua...

jangan menangis
andai cinta yang hadir
tidak bersambut
walau dia mengerti
hatinya tidak terpaut

jadi,
jangan bersedih,
hati
kerana engkau
belum mati

rindu

seraut wajah yang aku rindu
masih belum terpadam lagi
dari kanvas hati
sarat warna warni

suara pemanggil debar
dan kenangan lampau
(namun belum terlampau
atau melampau)
masih aku ternanti
walau datangnya cuma seketika
walau isinya sekelumit sahaja
berat maknanya menggetarkan jiwa

debar di dadaku
ingin memelukmu
dengan kata
dengan sorot mata

debar di dadamu
apakah tandanya -
adakah kerana
tenang mu aku ganggu?

Friday, February 16, 2007

Ku mohon maaf daripada kamu
Bukan kerana bah dosa
Atau limpahan sungai kesal
berterusan
Tanpa henti


Ku pinta maafmu
Hanya kerana aku tak mampu
Penuhi impian mu
untuk menyerah
dan menyatakan
- Kau ku cintai

Maaf itu bekal
buat kembara pilihan


~~ hehe, entah apa-apa~~

Renungan

Surah An Nisaa'
Ayat 45
وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِأَعْدَائِكُم ْوَكَفَى بِاللَّهِ وَلِيًّا وَكَفَى بِاللَّهِ نَصِيرًا

Terjemahan:
Dan Allah lebih mengetahui tentang musuh-musuh kamu. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong.