Bicara perempuan I
Perempuan itu terdiam mendengarkan buah butir bicara lelaki itu.
Katanya, dia ingin membahagiakan diri dengan mengambil seorang perempuan yang diidami menjadi isteri keduanya yang sah. Telah sering dia tercari-cari selama ini sebutir mutiara hati yang akan menambahkan seri kehidupannya di hari-hari yang menampakkan kejelasan kedut-kedut di serata badannya. Bukan dia tidak berpuas hati dengan isteri yangterlalu setia bersamanya menempuh rimba dan lurah kehidupan bersuami isteri dan berkeluarga. Bukanlah dia jemu dengan suri yang menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya. Bukan juga kerana dia merasa tamak dengan kasih sayang. Niatnya suci, lagi ikhlas, ingin menyunting bunga sebelum ia melayu dan mati kekeringan.
Perempuan itu hanya tersenyum. Hatinya berkata-kata. Manis sungguh tutur engkau. Siapa yang hatinya goyah, sudah tentu terlena dengan dodoian yang begitu mempersona, membujuk dan menyentuh hati wanita yang lembut. Malang sekali buat engkau, wahai lelaki yang ingin memasang dua. Aku wanita punya prinsip. Bila hati telah ku berikan buat sidia yang kukenal diriya, tidak mungkin aku berpaling lagi kepada insan lain, tidak aku ingin memberi hati, jiwaraga dan seluruh rasa cinta untuk mana-mana lelaki yang datang menggoda.
Kata perempuan itu, maafkan aku kerana tidak mampu berbuat seperti yang engkau mahu. Aku tak dapat memberikan apa yang engkau dambakan. Prinsip ku jelas: aku tak akan melukakan hati mereka yang sejenis dengan ku. Walaupun ketika ini engkau tidak akan nampak rasionalnya perbuatanku, namun satu hari nanti kau akan mengerti betapa betulnya jawapan ku ini. Kau mungkin mencapai kebahagiaan dengan membuka cawangan baru. Namun kau tidak akan mampu memerintah dua empayar yang letaknya berjauhan, dan kau tidak akan mampu mengubat kelukaan hati perempuan yang setia bersamamu dan sanggup bersusah payah mengandungkan zuriat buat engkau. Sudahlah. Lupakan aku. Hati dan kasih sayang ku telah ku hadiahkan buat seorang yang ku kenali terlebih dahulu daripada engkau. Dialah rajaku. Dengan izin Allah. Aku ingin membahagiakan dia walau akhirnya aku tidak mendapat apa. Dialah yang aku rindu saban waktu. Kau harus faham itu.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home