Monday, January 22, 2007

Senario 2

Sebenarnya, di antara kita belum ada persamaan, yang ada cuma perbezaan yang ketara. Mungkin kerana latar belakang kita yang berlainan. Setiap kali berjumpa, ada sahaja yang menjadi punca perdebatan. Ia disebabkan keinginan awak melihat saya menjadi serupa awak. Saya boleh menjadi seperti yang awak mahukan, dan memenuhi impian awak tetapi saya tidak akan boleh menjadi seperti awak. Contohnya ialah awak memandu pada hadlaju 80km/jam dengan cara duduk tegak sambil tangan memegang stereng dengan kejap dan mata memandang tepat ke jalan raya. Dan awak mahu saya memandu pada hadlaju yang sama. Saya boleh melakukannya. Tetapi janganlah awak mengharapkan saya memandu dengan gaya sepertimana awak memandu. Jika saya memandu pada hadlaju 8km/jam, saya tidak akan berdiri tegak, malah saya akan duduk santai dan bersandar pada tempat duduk, atau meletakkan siku saya di ‘arm rest’. Saya boleh memandu pada kelajuan yang sama, tetapi gaya saya memandu jauh berbeza dari awak. Masalahnya sekarang, awak mahu saya menjadi seperti awak. Itu mustahil.
Bayangkan. Bagaimana mungkin kita dapat tidur sebantal atau tinggal serumah atau belayar sekapal jika sekiranya kita asyik bercakaran? Memang benar, Allahyarham P Ramlee pernah melagukan ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Tentu ada hikmahnya kenapa sehingga sekarang ini, kita masih lagi seperti ini. Kegagalan awak ialah kerana tidak mengenali diri pasangan.

Tapi sebenarnya saya tidak pernah mengharapkan awak menjadi seperti saya. Kerana saya tau tiada manusia dalam dunia ini boleh menjadi seperti saya yang ini. Bukannya mudah menjadi saya. Kita mungkin punya persamaan, atau menemui titik persamaan di antara kita. Tetapi, kita bukanlah orang yang sama.

Ya, betul. Namun hakikatnya awak mahukan orang lain berfikiran sama seperti awak. Awak sentiasa membandingkan kehidupan orang lain dengan kehidupan awak. Awak anggap orang lain mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang serupa seperti awak. Bila awak menghukum orang lain, awak hukum mereka seluruhnya, tanpa melihat kebaikan mereka. Awak lebih cepat melihat keburukan pada diri orang lain dan menilai orang lain seperti awak menilai diri awak sendiri.

Tetapi saya juga melihat kebaikan dan keburukan suatu golongan tertentu.
Benar begitu, tetapi, awak bukan melihatnya dari kacamata orang lain. Awak tak mengalaminya. Saya pernah menyertai golongan yang awak sebutkan kerana saya tertarik dengan sifat-sifat tertentu yang ada pada golongan itu. Namun, kemudiannya saya lihat kecacatan atau kepalsuan dari kalangan mereka, dan saya tolak mereka 100 peratus. Totally rejected.

Benarkah itu yang awak fikirkan tentang saya? Bahawa saya hanya melihat keburukan yang ada pada orang?

Ya. Awak guna kayu ukur awak sendiri. Dan itu tidak adil, kerana awak mahukan semua orang mengikut pemikiran awak. Bersetuju dengan pandangan awak. Menerimapakai kata-kata awak.

Begitukah saya pada pandangan awak?

Susah saya nak cakap. Balik-balik awak pusing ke situ juga. Pi mai pi mai tang tu juga. Saya jadi bosan. Letih nak bercakap dengan awak. Nak berdebat tetapi tiada ‘point’.

Senario 1

Salam, lama tak menulis di sini. maafkan saya. di kesempatan yang terluang saya coretkan sketsa atau senario khayalan yang bermain di minda.

Saya sebenarnya tak ingin keluar malam ni.

Habis, kenapa keluar juga?

Saya keluar minum tadi. Tak maulah memandu terlalu jauh, takut minyak habis.

Eh? Apa maksud awak?

Saya pergi minum tadi. Badan saya kurang sihat.

Jadi? Bukankah awak kurang sihat. Sebaik-baiknya awak berehat saja di rumah. Saya rasa saya faham. Dan saya tidak kisah jika kita tidak berjumpa malam ini. Sebenarnya saya dah dapat merasakannya. Semasa awak hantar teks tadi, saya terus membuat panggilan, saya ingin memberitahu, tak perlulah kita berjumpa malam ini jika tak mahu. Malangnya, panggilan saya tidak dijawab.

Habis tu, bukankah awak yang kata ingin berjumpa?

Ya, saya tau. Tetapi, bila saya telefon tiada jawapan, bagaimana mungkin saya beritahu awak? Jadi saya cuma dapat balas teks tadi. Tapi entah mengapa, saya tidak menyebut tentang perjumpaan malam ini. Kerana saya dapat merasakan agak malas untuk keluar. Ya betul saya yang bertanya, tetapi, awak sendiri tidak menjawab dengan pasti ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Sebab itu sayapun tidak menetapkan apa-apa. Tetapi, kenapa awak ke mari walaupun awak tak mahu keluar malam ini?

Kan saya sudah beritahu, tadi saya keluar minum…..

Tuesday, January 02, 2007

Konflik

Antara akal dan hati

Akal berfikir
hati berasa
akal memikir, hati merasa - di manakah titik persefahaman?

suatu waktu, akal menjadi waras dan menguasai hati
hatipun kelu lalu membisu
mengiyakan akal yang begitu rasional

di lain tika, hati memberontak dan ingin berkuasa
letih katanya bila ikut logik sahaja
sekali sekala, apa salah mengubah selera!

namun, kadang kala, akal dan hatipun kalah
dek tanggungjawab
dan amanah
yang terpikul
kerana jalan itu yang dipilih

-
ah! cincai saja?