Salam di angin lalu
salam..
Dah lama juga saya tidak berada di ruang maya untuk meng'update' kan blog ini. Bukan malas atau tiada ide. Idea memang banyak, cuma saya tak berkesempatan menulis di sini. Banyak juga kekangan yang dialami.
Pertamanya, saya seperti yang saya katakan dulu, saya telah menyewa di sebuah Flat bersama beberapa orang dewasa serta matang lain. ALhamdulillah, masing-masing ada kesibukan tersendiri, jadinya pertembungan kami cuma dipenuhi dengan 'hi' dan 'babai' sahaja. Cuma, dengans eorang yang saya agak rapat juga, ada waktu terluang, kami bersembang alakadar, berbasa basi dan beramah tamah. Almaklum juga, dari dialah saya dapat menyewa bilik tersebut. Mungkin area atau kawasannya agak kurang sesuai, namun, bagi saya, yang penting saya boleh hidup di situ. Setakat itu yang saya mampu.. hendak yang lebih mahal? memang ada.. masalahnya saya tak mungkin dapat merasa privasi sebagaimana yang saya rasai disini. Syukur alhamdulillah, saya bolehlah memulakan serta menyambung kerja yang bertangguh.
Banyak kejadian yang berlaku seminggu-dua ini.Ada yang manis, ada yang pahit, ada juga yang kelat. Di mana harus saya mulakan ya?
baiklah, saya akan mulakan dengan sambutan Hari Merdeka yang baru lalu. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia, walaupun saya selama ini hanya menyambutnya dengan menonton upacara gilang gemilang di peti televisyen sahaja. Sejujurnya, cuma sekalilah saya menyertai perbarisan sahajalah, pada tahun 2002 dahulu. Menarik jugak, meriah, kerana bersama-sama berjalan dengan rakan2 sekerja lain. Kali terakhir saya menyertai perbarisan ialah pada hari sukan di sebuah sekolah berasrama penuh di Wilayah Persekutun di zaman 80an dahulu. Tentulah suasananya berbeza. Dan terkini, saya menyaksikan sambutan Hari Merdeka di sebuah stadium sederhana saiznya, yang dipenuhi oleh ribuan warga institusi terlibat. Menarik, menarik juga, cuma saya kurang senang dengan gelagat orang muda yang menari-nari ketika lagu Negaraku dinyanyikan bersama. APakah mereka tidak pernah bersekolah? Mungkin generasi kini lebih sukakan hiburan agaknya, suka menggoyangkan pinggul mengikut rentak irama. Nak dikatakan mereka remaja, saya rasa, ramai yang bukan remaja lagi...bagi saya, remaja atau teenagers adalah mereka yang dalam lingkungan 11 sehingga 20 tahun. Lebih dari itu, mereka adalah dewasa ..atau muda belia dan seterusnya dewasa. (Mungkin ada kategori lain untuk dewasa ni ya...)
Baiklah, kita panggil mereka anak muda yang lahir selepas Negara mencapai kemerdekaan. APakah sebenarnya yang ada dalam benak dan isi hati mereka bila Merdeka disambut gah dengan muzik dan warna-warni yang pergi entah ke mana selepas sambutan usai? Kasihan melihat orang-orang muda terkinja-kinja tatkala lagu-lagu patriotik dinyanyikan. Adakah generasi ini seperti generasi native yang menari-nari di sekeliling unggun api bagi merayakan kemenangan? entahlah. mungkin itu cara dan gaya merayakan kemerdekaan.
bagi saya pula, kemerdekaan kali ini sememangnya sangat bererti kerana saya benar-benar merasai erti kemerdekaan itu. keadilan saya kecapi untuk diri yang sekian lamanya dibelenggu oleh rasa-rasa yang sepatutnya tidak timbul.
Namun, sudah ada pula 'penjajah' baru yang cuba menakluki saya. oh tidak! saya cuba tepis sebaik mungkin, kerana saya tidak mahu melukakan hati sesiapa. Tak pernah terlintas di hati dan fikiran saya untuk menyakiti hati sesiapa, justeru, saya sedar, saya harus bertindak dengan hati dan akal yang sama bergandingan agar tiada yang terguris, tiada yang tercalar. Impian saya ialah dikelilingi bahgia yang membahagiakan hati sesiapa saja yang terlibat.
Kawan baruku,
minta maaf sekiranya aku tidak mampu mengiyakan katamu
memberi apa yang kau dambakan
membahagiakanmu dengan cara yang kau usulkan..
Namun, aku percaya bahawa kita masih boleh bersahabat
dan itu lebih penting dari hubungan akrab yang akhirnya akan memutuskan
hati dan tali yang mengikat.
semoga engkau memahami tujuan aku
yang tak mahu melukakan kaum sejenisku
yang pastinya menderita
sekiranya dia tahu
biarlah episod kursus kita simpan buat bekal
bakal kita sembangkan di hari tua nanti
Teman
yang kukenal dua tahun dulu
aku tak pernah berniat mengganggu kedamaianmu
dengan pergolakan yang mencetuskan perang-perang kecil
yang tak pernah selesai
cuma kebahagiaanmu aku doakan
dan penerimaannya demi sebuah ketenangan
jalanmu masih panjang
walau tersekat-sekat
kau tahu liku mana yang perlu diturut, selekoh mana yang patut dielak
dan akhirnya, sudah pasti ada piala
untuk kau kongsi dengannya
dan dirimu
yang kecil-kecil itu
dan episod kursus juga kita simpan
jadi halwa ketika gigi tiada
Sahabat yang kukenal ketika aku menginjak merdeka diri
terima kasih di atas segalanya
yang kau tunjukkan
yang kau sudi kongsi
akhirnya aku sedar
siapa diri
dan ke mana pergi
terima kasih untuk kau
yang mengajar aku
erti perjuangan
dalam menentang komunis yang curang (dia berpaling tadah)
dia melukakan!
semangat pendekar dalam dirimu,
aku pinjam buat seketika waktu
terima kasih buatmu
semoga kau ketemu dia yang sama istimewa denganmu!
Salam perpisahan untuk kali ini. Hidup punya pelbagai ujian. mampukah kita melepasi ujian itu untuk mencapai takah seterusnya?
Jaga dirimu baik2..
kerana kau permata berharga

0 Comments:
Post a Comment
<< Home